Subscribe:

Monday, January 28, 2013

::Cinta Lautan Api::

''Aku cinta padamu''

''Benarkah katamu itu, buktikan padaku''

''Akanku renangi lautan api, akanku daki gunung tertinggi, akanku gapai bintang diangkasa untukmu''

erk.

''Cintakah engkau kepada Rasul kekasih Allah?''

''Sudah tentu cinta, alahai itupun nak tanya. Plis lah!'' sambil memuncungkan mulut.

''Jom berdakwah''

''gulp, maaflah, kitew tak banyak ilmu. Tak layak lagi nak berdakwah. Tunggu dapat seru eh''

Gigit jari mata ke atas! Rasul yang kita cinta kan suruh kita berdakwah. Kita pula tolak!


Bulan Rabiulawal, bulan yang sarat dengan kisah perjuangan seorang insan mulia, Rasulullah s.a.w. Selawat serta salam rindu buat junjungan baginda s.a.w, para ahlul bait, sahabat-sahabat dan sesiapa saja yang mengikuti jejak baginda hingga bertemu di syurga Allah. 12 Rabiulawwal merupakan tarikh lahirnya seorang manusia yang membawa cahaya untuk menerangi alam yang sudah lama kegelapan. Baginda lahir dikala Kota Makkah diserang tentera bergajah Abrahah. Betapa Allah memberi petanda awal bahawa kehancuran tentera bergajah itu menggambarkan akan hancurlah jahiliyyah yang menapak di kota suci itu dengan kelahiran seorang utusan Allah.


Sejak daripada itu, dunia mulai terang benderang dengan Nur Islam. Betapa sirah Nabi itu sendiri mengajarkan kita untuk menjalani hidup di dunia ini dengan jerih payah perjuangan, bukan dengan bersenang-lenang sehingga lupa wujudnya dunia yang lebih baik dan kekal abadi disebelah sana sebagai ganjaran bagi mereka yang menginginkannya. Perjalanan hidup Ar-Rasul yang penuh dengan rintangan dan halangan. Sarat dengan ujian dan dugaan walaupun Baginda s.a.w merupakan kekasih Allah azza wajalla. Siangnya penuh dengan dakwah dan perjuangan, malamnya pula tenggelam dalam munajat kepada kekasihnya. 
''Rasulullah s.a.w menunaikan solat hingga bengkak kedua kaki baginda. Dikatakan kepada baginda, apakah sebab kamu menyusahkan diri kamu ini, sedangkan kamu telah diampunkan dosa yang telah lepas dan akan datang.Berkata baginda s.a.w Apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur''   (Hadith riwayat Imam At-Tarmizi dari Al-Mughirah bin Su'bah)

Ramai yang mengaku mencintai baginda. Tapi bila ditanya mengenai sirah kehidupan baginda, mereka lebih tahu kisah hidup seorang artis. Apabila diperiksa hidupnya seharian, tidak banyak sunnah baginda s.a.w yang menjadi amalan. Paling menyedihkan apabila bibirnya berselawat setahun sekali, itupun tatkala ada perarakan di jalanan. Layakkah kita mengaku mencintai Ar-Rasul andai kita tidak pernah sedetik pun dalam kehidupan ini berusaha untuk mengikuti bagaimana Baginda s.a.w menjalani kehidupan. Tidak pernah seinci pun ruang dalam hati kita berasa rindu kepada baginda s.a.w. Ingatkah kita beberapa abad yang lalu, dikala kita belum dilahirkan ke dunia ini, sudahpun ada seorang manusia yang melafazkan kata cinta dan meluahkan rasa rindunya kepada kita? Tapi kita tidak pernah berusaha untuk membalas cinta dan rindu itu. Kita lebih selesa meluahkannya kepada orang yang belum tentu menjadi milik kita. Kita lebih sanggup untuk terluka demi cinta yang sering tidak terbalas itu daripada menerima huluran cinta yang tidak akan pernah mengajar kita erti kecewa. Itulah cinta Ar-Rasul. Cinta yang akan berpanjangan hingga ke syurga.


Sempena bulan kelahiran ini, marilah sama-sama kita mula membelek buku-buku sirah baginda s.a.w. yang sudah lama berhabuk di dalam rak buku. Bayangkan betapa bahagianya hati baginda s.a.w apabila melihat kita umatnya berlumba-lumba untuk menghiasi diri dengan akhlak mulia sepertimana yang diajarkan baginda s.a.w dalam hidupnya. Mari kita amalkan segala sunnah-sunnah baginda s.a.w andai benar cinta kita tulus kepadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

''Aku diutuskan untu menyempurnakan akhlak yang mulia''

Sudahkah kita berakhlak mulia? kerana Jabir ra pernah berkata daripada Rasulullah s.a.w,

"Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya." (Hadis Riwayat Tirmidzi).


''Kini aku berazam untuk membuktikan cinta ini dengan akhlak diriku mencontohi akhlak kekasihku. Bukan dengan merentasi lautan api, bukan juga mendaki gunung tertinggi. Tapi cukuplah dengan berusaha mengikuti cara hidup baginda s.a.w''

 

Salam MaulidurRasul.





Teratak Cemara
28/01/2013 (Isnin)
6.59 pm

Friday, January 18, 2013

::Terukir Di Bintang::

Jadilah ibarat tiram di lautan. Dihiris pepasir tercalarlah ia. Sungguhpun terluka namun dipendam. Walaupun pedih tapi tetap disimpan. Kerana akhirnya pasti akan dibalas dengan Mutiara. pfff!!


Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Tidak akan pernah ku berhenti bersyukur kepada Pencipta yang sentiasa ada rasa kasih dan sayang kepada hambaNya yang hina. Maha suci Dia kerana tidak pernah sedetik pun terlupa bahawa aku sentiasa memerlukan walaupun diri ini yang sering saja melupakanNya. Kadang-kadang, malu aku untuk mendongak ke langit dan menunduk ke bumi. Tapi bagaimana hendak ku lakukan kerana hakikatnya aku insan yang lemah. Hanya menumpang berteduh, mengharap belas kasihNya. Sesekali rinduku menjengah sosok tubuh yang tidak pernah aku temui dalam hidup ini. Lelaki Ghaib yang melafazkan rasa cinta dan rindu kepadaku berabad yang lalu. Semoga aku dapat bertemu dengannya di Syurga sana. Doakan aku Ya Rasulullah. 


Selamat Hari Lahir....

Selama 22 tahun, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupanku. Bahagia, derita, suka dan duka diajarkan kepadaku agar aku mengerti kehidupan ini dengan lebih sempurna. Aku bersyukur kerana dikurniakan insan-insan yang sentiasa mengingatkan aku kepada Mu ya Allah. Merekalah keluargaku sepanjang tempoh aku merantau menuntut hakikat ilmu di bumi orang. Walaupun kekadang kami diuji dengan kesabaran. Satu ketika kami hampir terpedaya dengan mainan syaitan yang ingin melihat kami bertelingkah sepertimana yang terjadi kepada Habil dan Qabil. Tapi, rahmat Allah sentiasa ada untuk kami. Mungkin saja, tanpa ukhuwwah ini aku akan hanyut dalam dunia kegelapan. Oleh itu, tidak melampau jika aku menganggap mereka membawa sinar cahaya dalam kehidupan aku. 


Sahabat, tolong ingatkan aku untuk terus menjadi hamba Allah yang baik. Aku sedar diri ini terlalu banyak khilaf dan kelemahan. Kerana itu, tampunglah kelemahan ku dengan kekuatan kamu. Mungkin kekadang aku selalu menyakitkan jiwamu. Kekadang aku mencuri ketenanganmu. Atau aku membunuh kepercayaanmu. Maafkan aku sahabat kerana aku juga manusia biasa yang lemah. Aku telah menganggap kamulah keringanan yang Allah kurniakan untuk menampung kelemahanku sebagai manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : ”Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah”(Surah an-Nisa ayat 28 )

Kesat air matamu....

Buat apa kau menangis? Kisah persahabatan kita ini tidak akan pernah terputus walau ajal memutuskan pertemuan kita di dunia. Kerana aku berharap persahabatan kita ini terus sampai ke syurga Allah. Andai aku terjatuh ke lubang neraka, aku berharap kau akan terjun untuk menyambut dan membawaku ke syurga bersamamu. Begitu juga akan diriku. Pasti aku lakukan yang serupa. Tidakkah kau mahu bersamaku disyurga? Tahukah kau bahawa Allah telah menyeru kita sahabatku.

Di dalam hadis Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Hadis Riwayat Muslim)



Semoga kita bertemu di syurga kelak............

                                                                                                     * * * * *

Pengalaman menyambut hari kelahiran kali ini sangat bermakna buat diriku. Tidak ku sangka terlalu banyak kejutan yang dirancang oleh sahabat-sahabatku. Lebih indah apabila hari lahirku sama dengan pensyarah yang mengajarku erti kehidupan selain mengajar silibus di kelas. Beliau adalah Miss Aida Salina Jailani.

Bermula dengan membawaku ke Restoran Sempoi Cofee aku sudah menghidu sesuatu. Tapi aku biarkan rasa itu. Sesampai saja disana, beberapa sahabat lain sudah pun menanti bersama Miss Aida. Kemudian, satu persatu sahabat tiba. Istimewanya kali ini, hampir semua sahabat-sahabat rapatku dapat bersama. Dengan tidak semena-mena, lagu Selamat Hari Lahir memecahkan romantika suasana restoran itu. Minta maaf kepada pelanggan yang baru saja nak ambil 'feel' romantika, tetapi terganggu. Sebelum itu, semasa abang pelayan memberikan sahabat-sahabat lain buku menu, aku dan Miss Aida menerima buku menu yang berlainan. Dalam buku ini, menunya bukan Nasi Padprik mahupun Nasi Goreng Pattaya. Tetapi sentuhan ikhlas dan ucapan sahabat-sahabat yang hampir membuatkan air mataku jatuh berjujuran. 

Doa Imam Muda Asyraf....



Malam itu semakin istimewa dengan kehadiran ikon kegemaranku dalam pentas dakwah iaitu Imam Muda Asyraf yang memilih restoran yang sama tempat kami berkumpul. Aku pun meminta pengurus majlis, Ekin dan Idani untuk meminta Imam Muda membacakan doa sempena hari lahir kami. Sungguh, aku terpesona dengan akhlak yang ditunjukkan Imam Muda Asyraf yang penuh hikmah menghampiri kami. Doa dibacakan dengan penuh kesyahduan. Tangan dan kakiku menggeletar. Aku kurang pasti sebabnya. Tetapi yang pastinya aku cuba untuk menahan setitik air mata pun jatuh pada malam itu kerana aku mahu sahabat-sahabat pada malam itu disajikan dengan senyuman dan kegembiraan yang kami kongsi bersama untuk diabadikan sebagai kenangan terindah. 




Di akhir majlis, aku dan Miss Aida dihadiahkan dengan nyanyian 'luar biasa' para jejaka-jejaka yang selama ini tidak pernah menyanyi sebegitu dihadapan orang. Walaupun ada getaran gugup dan sesekali cuba menolak permintaan. Namun, demi untuk melengkapkan malam itu, mereka tetap melawan kebiasaan. Arif (medley pelbagai lagu), Adam (Untuk dia), Bote (The Way You Are), Faisal (lagu lama), Khairil (lagu ungu), Abey (lagu kelate) dan aku (Terukir di bintang). Akak-akak kecewa sebab tidak boleh beraksi. haha

SEMPURNA...

Maka malam tersebut berakhir dengan kegembiraan. Terima kasih guru-guru dan sahabat-sahabat yang telah menyediakan semua ini. Akanku jadikan ini sebagai kenangan terindah dalam hidup. 

Ibu Bapa| Adik beradik | Sir Nasir | Along Hafiz | Asyhraf | Abey | Arif | Safwan Bote | Adam | Achik Faisal | Miss Aida | Ekin | Idani | Pikah | Nani | 'Atika Tupp | Nasuha | Aisyah | Mek Jah (tak hadir) | Ibu dan Ayah Tahsin | Abg Hakim | Abg Bakri | Family Insaniah | Family MPP | Family Komaba | Family Fasi Family Usrah | Sahabat SMSLD | Guru dan Pensyarah| serta semua yang hadir dalam hidup aku. Terima kasih semua.

Jom kita bertemu di Syurga. 

''Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu,
Tapi sayangkan ku capai bintang dari langit untukmu,
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba,
Ku hanya mahu kau bersamaku sampai kita ke syurga....''

Tamat...



Credit Foto : Insaniah Photography


Teratak Cemara
Bandar Baru Bangi
19/01/2013 (Jumaat)
12.43 am

Thursday, January 17, 2013

::Lahirlah Sebagai Wira::

Kisah ini bermula 22 tahun yang lalu. Di sebuah negara yang aman damai dan diperintah oleh seorang raja yang dicintai rakyatnya dan juga segala haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, burung (ark..ark..ark..) dan juga ikan jos [Baca: Jerung]. Tersebutlah kisah tentang kelahiran seorang bayi yang comelnya ibarat mutiara yang bersinar di dalam kegelapan dasar lautan. Bayi ini bakal memberi bahagia dan juga derita kepada dunia seisinya. Keajaiban seorang bayi yang khabarnya hampir terkorban di lautan perjuangan, namun akhirnya dengan gagah mengalahkan musuh yang bilangannya mencecah jutaan manusia. Lahirnya seorang wira!



22 tahun kemudian....

Mengimbau kenangan yang berlalu. Diri bertanya, adakah 22 tahun yang Allah telah pinjamkan kepada diri ini telah digunakan sebaiknya untuk melayakkan diri ini dianggap wira. Ya, sekurang-kurangnya menjadi wira kepada agama. Wira yang bukan disanjung seperti lagaknya seorang SuperMan. Atau wira yang diagung seperti SpiderMan. Cukuplah sekadar menjadi wira yang tingkahnya persis seperti seorang yang BeriMan. Lahirnya seorang manusia ke dunia memang dengan seiring dengan kemenangan. Namun, kemenangan yang sebenar adalah apabila manusia itu kembali kepada Penciptanya dengan tenang.

angin bertiup lembut~

Kita harus sedar, dikala saudara kita mengucapkan selamat hari lahir, itu tandanya usia kita semakin berkurang. Dan ia akan terus berkurang saban tahun sehingga kita bertemu semula di alam sana. Disana nanti, tiada lagi ucapan selamat, tiada lagi kek Secret Recipe, dan tentunya tiada lagi nyanyian hari jadi, kerana yang ada hanyalah diri sendiri yang mungkin bahagia dan mungkin juga gelisah menanti saat dihitung segala amalan sepanjang berteduh di dunia persinggahan. Cukup syarat, syurga hadiahnya. Jika tidak, azablah balasannya. Wa iyazubillah. pff 

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tarmizi:
 “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”

Mari kita merenung jauh kedalam diri, adakah selama ini, umur yang telah dipinjamkan Allah kepada kita ini telah digunakan dengan sebaiknya. Semua orang mengakui bahawa setiap daripada kita akan ditanya dan disoal mengenai pengembaraan kita selama hidup di dunia. Dan pastinya setiap soalan itu menuntut sebuah jawapan. Untuk memuaskan hati si pemberi soalan, jawapan yang diberikan haruslah menepati kehendak soalan dan lengkap justifikasinya. Tapi kalau jawapan yang diberikan tidak menepati skema pemarkahan atau lebih parah lagi jika kita hanya mampu diam membatu tanpa bicara, sudah pasti ia akan mencetuskan amarah. Mari kita lihat contoh yang berlaku baru-baru ini. Ia mengisahkan seorang gadis yang bernama Bawani bertanya soalan dalam sebuah forum, tetapi Kak Pah yang merupakan salah seorang panelis tidak memberikan jawapan, bahkan menceritakan perihal semua encik-encik binatang yang jelas tiada kaitan dengan soalan yang diberikan. Dan lebih bertambah dramatik apabila soalan itu disahut dengan Listen! Listen! Listen! and Let Me Speak (1000x). Apa yang berlaku, dengan sepantas internet Berukband, ia menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia bertebaran di segenap udara. Sekarang pejam mata anda dan bayangkan jika Allah bertanya apa yang kita lakukan semasa usia muda? lantas kita menjawab, kucing dirumah tiada masalah dan ikan digoreng tanpa rasa membantah. Bukankah itu juga bakal mendatangkan kemarahan Allah?

Maaf pak, bukan bermain logik semata-mata dalam berhujjah, tapi Al-Quran juga ada menyebutnya di dalam Surah Al-Isra' ayat 36 yang berbunyi:
''...Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya dan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dilakukannya''

Epilog

Bersedia atau tidak, bukan soalan. Hiduplah seribu tahun sekalipun, jika tidak tahu arah tujuan. Sesat tidak berpenghujung. Muhasabah!



Teratak Cemara
16 Januari 2013 (Rabu)
8.14 pm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...