Subscribe:

Monday, January 28, 2013

::Cinta Lautan Api::

''Aku cinta padamu''

''Benarkah katamu itu, buktikan padaku''

''Akanku renangi lautan api, akanku daki gunung tertinggi, akanku gapai bintang diangkasa untukmu''

erk.

''Cintakah engkau kepada Rasul kekasih Allah?''

''Sudah tentu cinta, alahai itupun nak tanya. Plis lah!'' sambil memuncungkan mulut.

''Jom berdakwah''

''gulp, maaflah, kitew tak banyak ilmu. Tak layak lagi nak berdakwah. Tunggu dapat seru eh''

Gigit jari mata ke atas! Rasul yang kita cinta kan suruh kita berdakwah. Kita pula tolak!


Bulan Rabiulawal, bulan yang sarat dengan kisah perjuangan seorang insan mulia, Rasulullah s.a.w. Selawat serta salam rindu buat junjungan baginda s.a.w, para ahlul bait, sahabat-sahabat dan sesiapa saja yang mengikuti jejak baginda hingga bertemu di syurga Allah. 12 Rabiulawwal merupakan tarikh lahirnya seorang manusia yang membawa cahaya untuk menerangi alam yang sudah lama kegelapan. Baginda lahir dikala Kota Makkah diserang tentera bergajah Abrahah. Betapa Allah memberi petanda awal bahawa kehancuran tentera bergajah itu menggambarkan akan hancurlah jahiliyyah yang menapak di kota suci itu dengan kelahiran seorang utusan Allah.


Sejak daripada itu, dunia mulai terang benderang dengan Nur Islam. Betapa sirah Nabi itu sendiri mengajarkan kita untuk menjalani hidup di dunia ini dengan jerih payah perjuangan, bukan dengan bersenang-lenang sehingga lupa wujudnya dunia yang lebih baik dan kekal abadi disebelah sana sebagai ganjaran bagi mereka yang menginginkannya. Perjalanan hidup Ar-Rasul yang penuh dengan rintangan dan halangan. Sarat dengan ujian dan dugaan walaupun Baginda s.a.w merupakan kekasih Allah azza wajalla. Siangnya penuh dengan dakwah dan perjuangan, malamnya pula tenggelam dalam munajat kepada kekasihnya. 
''Rasulullah s.a.w menunaikan solat hingga bengkak kedua kaki baginda. Dikatakan kepada baginda, apakah sebab kamu menyusahkan diri kamu ini, sedangkan kamu telah diampunkan dosa yang telah lepas dan akan datang.Berkata baginda s.a.w Apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur''   (Hadith riwayat Imam At-Tarmizi dari Al-Mughirah bin Su'bah)

Ramai yang mengaku mencintai baginda. Tapi bila ditanya mengenai sirah kehidupan baginda, mereka lebih tahu kisah hidup seorang artis. Apabila diperiksa hidupnya seharian, tidak banyak sunnah baginda s.a.w yang menjadi amalan. Paling menyedihkan apabila bibirnya berselawat setahun sekali, itupun tatkala ada perarakan di jalanan. Layakkah kita mengaku mencintai Ar-Rasul andai kita tidak pernah sedetik pun dalam kehidupan ini berusaha untuk mengikuti bagaimana Baginda s.a.w menjalani kehidupan. Tidak pernah seinci pun ruang dalam hati kita berasa rindu kepada baginda s.a.w. Ingatkah kita beberapa abad yang lalu, dikala kita belum dilahirkan ke dunia ini, sudahpun ada seorang manusia yang melafazkan kata cinta dan meluahkan rasa rindunya kepada kita? Tapi kita tidak pernah berusaha untuk membalas cinta dan rindu itu. Kita lebih selesa meluahkannya kepada orang yang belum tentu menjadi milik kita. Kita lebih sanggup untuk terluka demi cinta yang sering tidak terbalas itu daripada menerima huluran cinta yang tidak akan pernah mengajar kita erti kecewa. Itulah cinta Ar-Rasul. Cinta yang akan berpanjangan hingga ke syurga.


Sempena bulan kelahiran ini, marilah sama-sama kita mula membelek buku-buku sirah baginda s.a.w. yang sudah lama berhabuk di dalam rak buku. Bayangkan betapa bahagianya hati baginda s.a.w apabila melihat kita umatnya berlumba-lumba untuk menghiasi diri dengan akhlak mulia sepertimana yang diajarkan baginda s.a.w dalam hidupnya. Mari kita amalkan segala sunnah-sunnah baginda s.a.w andai benar cinta kita tulus kepadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

''Aku diutuskan untu menyempurnakan akhlak yang mulia''

Sudahkah kita berakhlak mulia? kerana Jabir ra pernah berkata daripada Rasulullah s.a.w,

"Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya." (Hadis Riwayat Tirmidzi).


''Kini aku berazam untuk membuktikan cinta ini dengan akhlak diriku mencontohi akhlak kekasihku. Bukan dengan merentasi lautan api, bukan juga mendaki gunung tertinggi. Tapi cukuplah dengan berusaha mengikuti cara hidup baginda s.a.w''

 

Salam MaulidurRasul.





Teratak Cemara
28/01/2013 (Isnin)
6.59 pm

Love to hear what you think!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...