Subscribe:

Thursday, January 17, 2013

::Lahirlah Sebagai Wira::

Kisah ini bermula 22 tahun yang lalu. Di sebuah negara yang aman damai dan diperintah oleh seorang raja yang dicintai rakyatnya dan juga segala haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, burung (ark..ark..ark..) dan juga ikan jos [Baca: Jerung]. Tersebutlah kisah tentang kelahiran seorang bayi yang comelnya ibarat mutiara yang bersinar di dalam kegelapan dasar lautan. Bayi ini bakal memberi bahagia dan juga derita kepada dunia seisinya. Keajaiban seorang bayi yang khabarnya hampir terkorban di lautan perjuangan, namun akhirnya dengan gagah mengalahkan musuh yang bilangannya mencecah jutaan manusia. Lahirnya seorang wira!



22 tahun kemudian....

Mengimbau kenangan yang berlalu. Diri bertanya, adakah 22 tahun yang Allah telah pinjamkan kepada diri ini telah digunakan sebaiknya untuk melayakkan diri ini dianggap wira. Ya, sekurang-kurangnya menjadi wira kepada agama. Wira yang bukan disanjung seperti lagaknya seorang SuperMan. Atau wira yang diagung seperti SpiderMan. Cukuplah sekadar menjadi wira yang tingkahnya persis seperti seorang yang BeriMan. Lahirnya seorang manusia ke dunia memang dengan seiring dengan kemenangan. Namun, kemenangan yang sebenar adalah apabila manusia itu kembali kepada Penciptanya dengan tenang.

angin bertiup lembut~

Kita harus sedar, dikala saudara kita mengucapkan selamat hari lahir, itu tandanya usia kita semakin berkurang. Dan ia akan terus berkurang saban tahun sehingga kita bertemu semula di alam sana. Disana nanti, tiada lagi ucapan selamat, tiada lagi kek Secret Recipe, dan tentunya tiada lagi nyanyian hari jadi, kerana yang ada hanyalah diri sendiri yang mungkin bahagia dan mungkin juga gelisah menanti saat dihitung segala amalan sepanjang berteduh di dunia persinggahan. Cukup syarat, syurga hadiahnya. Jika tidak, azablah balasannya. Wa iyazubillah. pff 

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tarmizi:
 “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”

Mari kita merenung jauh kedalam diri, adakah selama ini, umur yang telah dipinjamkan Allah kepada kita ini telah digunakan dengan sebaiknya. Semua orang mengakui bahawa setiap daripada kita akan ditanya dan disoal mengenai pengembaraan kita selama hidup di dunia. Dan pastinya setiap soalan itu menuntut sebuah jawapan. Untuk memuaskan hati si pemberi soalan, jawapan yang diberikan haruslah menepati kehendak soalan dan lengkap justifikasinya. Tapi kalau jawapan yang diberikan tidak menepati skema pemarkahan atau lebih parah lagi jika kita hanya mampu diam membatu tanpa bicara, sudah pasti ia akan mencetuskan amarah. Mari kita lihat contoh yang berlaku baru-baru ini. Ia mengisahkan seorang gadis yang bernama Bawani bertanya soalan dalam sebuah forum, tetapi Kak Pah yang merupakan salah seorang panelis tidak memberikan jawapan, bahkan menceritakan perihal semua encik-encik binatang yang jelas tiada kaitan dengan soalan yang diberikan. Dan lebih bertambah dramatik apabila soalan itu disahut dengan Listen! Listen! Listen! and Let Me Speak (1000x). Apa yang berlaku, dengan sepantas internet Berukband, ia menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia bertebaran di segenap udara. Sekarang pejam mata anda dan bayangkan jika Allah bertanya apa yang kita lakukan semasa usia muda? lantas kita menjawab, kucing dirumah tiada masalah dan ikan digoreng tanpa rasa membantah. Bukankah itu juga bakal mendatangkan kemarahan Allah?

Maaf pak, bukan bermain logik semata-mata dalam berhujjah, tapi Al-Quran juga ada menyebutnya di dalam Surah Al-Isra' ayat 36 yang berbunyi:
''...Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya dan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dilakukannya''

Epilog

Bersedia atau tidak, bukan soalan. Hiduplah seribu tahun sekalipun, jika tidak tahu arah tujuan. Sesat tidak berpenghujung. Muhasabah!



Teratak Cemara
16 Januari 2013 (Rabu)
8.14 pm

Love to hear what you think!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...