Subscribe:

Sunday, October 23, 2011

::Naruto Juga BerUSRAH::

Jalan raya lengang dari sebarang kereta. Setelah aku membayar roti dan air di kaunter, aku terus mendapatkan tempat duduk di bahagian luar Lover Cake House ini. Suasananya begitu nyaman memandangkan kedai ini terletak bersebelahan laut. Bayu yang berhembus begitu lembut dan mampu memberi ketenangan yang didamba setiap insan. Aku membuka komputer peribadiku. Hari ini, aku bercadang untuk mengarang satu artikel mengenai topik usrah untuk dimasukkan ke dalam blog.


Terasa agak lama tidak ku kemaskini. Lama aku termenung memikirkan tajuk dan pengisian apa yang ingin aku kongsikan mengenai tajuk ini. Aku tidak mahu ianya berat dan sukar untuk difahami. Setelah agak lama aku berfikir, aku lantas mencari maklumat berkaitan watak dan perwatakan siri anime kegemaranku iaitu Naruto. Ya, aku akan membicarakan topik usrah ini menggunakan perbandingan siri anime kesukaan ramai masa kini. Tapi sebelum itu, aku ingin berkongsi satu puisi yang agak menyentap yang aku baca minggu lepas.Sudah tentu puisi itu berkait rapat dengan perbincangan topik pilihanku ini.



BEZA INSAN DENGAN KALIAN

Dimanakah cinta kalian
Di kala aku memerlukan

Malam hari kalian ke masjid
Sedang di jalanan aku merempit

Kalian sibuk bertilawah taranum Al-Quran
Sedang aku dibiarkan dalam kegelapan

Malam hari kalian bertahajud menyembah tuhan
Sedang aku bersama rakan berpeleseran

Heboh kalian bercerita bab kemungkaran
Sedang aku riang ria dibiarkan mencuri sakan

Bersusah payah kalian mencari redha tuhan
Hinggakan aku dipandang hina tanpa kasihan

Mat rempit dan samseng jalanan jadi kawan
Kerana kalian terlalu agung untuk diteman

Ana enta kalian berkasih sayang
Sedang aku berabang sayang

Syurga menjadi matlamat kalian
Hingga aku ke neraka kalian lupakan

Cinta kepada tuhan kalian kejarkan
Hingga tiada cinta kepada sahabat kalian

Adakah cinta dan syurga Allah hanya milik kalian
Sedang aku dibiarkan tanpa tahu kewujudan?

Siang malam kalian berusrah meningkatkan iman
Sedang aku berpesta siang malam laki perempuan

Adakah keindahan usrah hanya untuk kalian
Sedang aku dibiarkan maharajalela di jalanan?

Kalian begitu selesa
Sedang aku sengsara

Andai aku ke neraka dan syurga milik kalian
Akan ku ungkit agar aku bertemankan kalian!


Sungguh, rangkaian pantun sinikal di atas mampu merenggut jiwa dan perasaan sesiapa saja yang cuba menyelam jauh ke lubuk hati seorang insan. Rintihan dan keluhan yang diluahkan oleh insan yang telah menemui sumber cahaya yang sekian lama dicari, tapi begitu takut untuk mendekati cahaya itu lantaran bimbang kehadirannya tidak dialu-alukan. Lalu, dirinya dibiarkan terus bergelumang dalam kegelapan. Siapa yang patut dipersalahkan? Kata sang daie, mereka sudah puas mengajak insan itu mencapai cahaya tersebut namun tidak pernah diendahkan. Manakala, insan ini mendakwa para daie terlalu mulia untuk didekati dan seakan syok sendiri dalam keindahan dunia ciptaan mereka sendiri. Kedua-duanya saling menuding jari untuk membuktikan diri tidak patut dipersalahkan. Mungkin disinilah punca wujudnya golongan yang terpisah jauh. Menggambarkan seolah-olah Islam itu hanya releven bagi sesetengah pihak sahaja. Sedangkan Allah telah berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:


ِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُون

Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.


Mungkin benar insan ini begitu ego untuk kekal dalam hidup kepalsuan. Atau mungkin juga cara pendekatan para daie yang tidak mesra dan tidak sesuai sehingga memperlihatkan Islam ini begitu sempit dan sukar untuk diadaptasi dalam segenap ruang kehidupan padahal Islam itu sepatutnya begitu mudah diterima dan diterjemah sebagai cara hidup tanpa dipaksa.

SEJARAH USRAH BERMULA
Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan cara untuk menyelesaikan kemelut yang melanda agar tidak menjadi semakin kusut. Kini masanya kita menyusun strategi baru agar setiap insan mampu merasai nikmat keindahan hidup beragama. Seperti kelaziman, aku akan berbicara mengenai satu cabang dari pohon keindahan Islam iaitu ukhuwwah atau persaudaraan kerana aku percaya ukhuwwah adalah teras yang mengukuhkan medan sebuah perjuangan.Tanpa persaudaraan yang terjalin maka jadilah kita seperti biri-biri yang terpisah dari kumpulan dan menunggu masa untuk diterkam oleh sang serigala kelaparan. Andai setiap perkara itu ditunjangi elemen yang mendokong konsep dan pengertiannya, maka aku berani mengatakan elemen persaudaraan dalam Islam pula ditunjangi oleh keampuhan sistem Usrah atau jama’ah dalam meneladani sunnah Rasulullah. Jangan terkejut kalau aku mengatakan bahawa Rasulullah yang sempurna juga membentuk sistem usrah yang tersendiri. Diperingkat awal sirah perjuangan Da’wah Islamiyyah, Rasulullah menyebarkan Islam melalui penekanan aspek-aspek akidah untuk mengubah corak hidup masyarakat Islam yang ketika itu telah dicemari oleh amalan jahiliyyah sejak turun temurun. Rasulullah pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya tersembunyi dan dirahsiakan.Sebabnya mudah; kaedah da’wah yang dilakukan adalah da’wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.
Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat bertepatan dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur’an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh makhluk yang bernama manusia (juga jinn).
Dalam konteks ini, Rasulullah telah mengadakan pertemuan di rumah para sahabat untuk menyampaikan syiar Islam. Antara kisah yang paling masyhur diceritakan adalah kisah pertemuan di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Satu majlis kecil yang dihadiri oleh beberapa sahabat Rasulullah untuk membina peribadi Islam dalam diri masing-masing. Inilah yang dikatakan sebagai usrah walaupun hakikatnya ia tidak dipanggil sedemikian pada ketika itu. Imam Hassan Al-Banna memerhatikan keruntuhan sistem khilafah masa kini adalah disebabkan oleh kelemahan institusi kekeluargaan yang gagal mentarbiyyah anak-anak mereka dengan peribadi Islam yang sebenar. Dari situlah lahir sebuah manhaj baru yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan ingin menjadi individu muslim yang menyumbang kepada pembinaan sistem khilafah itu sendiri. Dan secara dasarnya, sistem ini mendokong konsep maratib amal atau tingkat amal yang dimulakan dengan pembentukan individu Islam, keluarga, masyarakat, kerajaan, Negara, khilafah dan seterusnya mencapai tingkat teratas sebagai matlamat utama yang disebut sebagai Ustaziatul alam atau menjadi ikutan seluruh umat manusia. Secara analogi, usrah yang bermaksud keluarga ini akan dianggotai oleh seramai 5-10 orang mutarobbi dan akan dibimbing oleh seorang naqib/murobbi yang akan bertindak sebagai ayah kepada anak-anak dalam menjaga kebajikan, mendidik dan memastikan setiap ahli berada pada landasan yang betul. Dengan ini, sistem usrah bolehlah diterjemahkan sebagai satu wasilah yang menggantikan peranan dan fungsi sesebuah keluarga.
NARUTO PUN BERUSRAH??
Sekarang kita telah mengetahui konsep dan pengertian usrah. Kini kita memerlukan pemahaman tentang kepentingan dan keperluan usrah dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai seorang mahasiswa. Sengaja aku membicarakan perkara ini dalam konteks sebagai seorang pelajar kerana fasa ini merupakan fasa paling penting dalam membentuk fikrah seorang manusia dan mengelakkan sebarang anasir negatif menentukan hala tuju hidup kita.
NARUTO SHIPPUDEN 
Mungkin ramai dikalangan kita yang mengikuti siri anime Naruto Shippuden. Atau sekadar mengetahui, itu sudah memadai bagi aku menerangkan signifikan usrah dalam kehidupan. Naruto adalah nama watak utama dalam siri anime ini yang bercita-cita untuk menjadi seorang Hokage (ketua tertinggi) dan menyelamatkan kampong Konoha daripada serangan musuh iaitu Akatsuki. Dalam siri ini, Negara Api diketuai oleh seorang ketua dan terbahagi kepada beberapa kampung yang dipimpin oleh ketua kampung masing-masing yang dipanggil Hokage (daun), Raikage (kilat), Kazekage (pasir), Tsuchikage (hujan) dan Mizukage (buih). Dalam konteks perbincangan, Negara api ini bolehlah diibaratkan sebagai Negara Islam yang diketuai oleh seorang Khalifah. Dan watak Naruto dihidupkan sebagai watak yang ingin menyatukan semua puak yang berpecah dan menentang musuh utama mereka iaitu pertubuhan akatsuki. Bukanlah niat aku untuk membuat perbandingan murahan mengenai sistem Islam dengan siri anime ini, cukuplah sekadar sebuah kadar nisbah yang boleh menambah kefahaman kita terhadap sistem Islam.
Berbalik kepada pokok pangkal perbincangan. Setelah memerhati secara empirikal, aku mendapati siri anime Naruto ini turut melaksanakan satu sistem yang diperjuangkan oleh As-Sayyid Imam Hassan Al-Banna iaitu usrah. Naruto berusrah? Mungkin bunyinya agak kelakar. Mari kita lihat bersama-sama bagaimana Naruto dan rakan-rakannya boleh terlibat dalam usrah? Adakah disebabkan paksaan atau mungkin ada sebab lain. Jika kita sedar, setiap ninja di dalam siri anime ini akan diletakkan di dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada 3 orang ahli dan akan dipimpin oleh seorang ketua untuk menjalankan misi yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Jika tidak keterlaluan, ketua kumpulan ini bolehlah dinisbahkan sebagai naqib/murobbi, manakala setiap ahli dikenali sebagai mutarobbi. Setiap ketua kumpulan akan bertanggungjawab terhadap ahli kumpulan masing-masing agar tidak tersasar dari matlamat masing-masing. Cuba lihat antara kumpulan usrah yang ada dalam siri anime kegemaran ramai ini:

Naqib: Hatake Kakashi
Mutarobbi:
 Uzumaki Naruto
Uchiha Sasuke
Haruno Sakura
Naqibah: Yuhi Kurenai
Mutarobbi:
Aburame Shino
Inuzuka Kiba
Hyuga Hinata
Naqib: Maito Guy
Mutarobbi:
Hyuga Neiji
Rock Lee
Ten Ten
Naqib: Sarutobi Asuma
Mutarobbi:
Nara Shikamaru
Akimichi Choji
Yamanaka Ino
Naqib: Hiruzen Sarutobi
Mutarobbi:
Jiraiya
Orochimaru
Tsunade
Bertambah menarik lagi apabila sistem usrah yang dilaksanakan di Kampung Konoha ini dibuat secara lapisan generasi bagi memastikan lingkaran tali ukhuwwah ini tidak pernah putus dan setiap ninja tidak terlepas daripada pandangan pemerhatian. Buktinya Uzumaki Minato merupakan mutarobbi kepada Jiraiya di mana Jiraiya juga merupakan mutarobbi kepada Hokage ketiga iaitu Sarutobi. Tidak berhenti setakat itu, Minato kemudian menjadi Naqib kepada Hatake Kakashi yang merupakan Murobbi kepada Uzumaki Naruto. Lihat, betapa tersusun dan sistematiknya sistem usrah yang dilaksanakan oleh watak anime ciptaan Mashashi Kishimoto.

Apa pula peranan dan fungsi sistem usrah ini? Masih menggunakan watak-watak anime Naruto sebagai perbandingan. Kita melihat bagaimana Uchiha Sasuke tersasar dari jalan kebenaran dan terjerumus dalam kegelapan disebabkan dendam yang membakar dalam dada. Disebabkan perasaan ukhuwwah yang telah terpasak teguh dalam diri ahli usrahnya, Naruto dan Sakura berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan sahabat mereka itu ke dalam cahaya walaupun darah dan peluh menjadi tuntutan. Naruto tidak mahu mengulangi kesilapan gurunya Jiraiya yang kehilangan ahli usrah iaitu Orochimaru setelah tenggelam dalam kesesatan yang nyata. Dia berazam untuk berjuang habis-habisan walaupun ramai yang meragui kemampuannya itu. Jika difikir sedalam-dalamnya, kenapa Naruto dan Sakura perlu menyelamatkan Sasuke sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah atau kepentingan? Inilah yang dikatakan sebagai ukhuwwah yang telah dibina dalam sistem usrah. Hubungan persaudaraan yang tidak perlu diikat oleh darah daging atau dipaksa oleh kepentingan tertentu.

Sebelum terlupa, kita perlu mengetahui untuk apa mereka menyusun strategi yang begitu mantap. Dalam siri anime ini, musuh utama proksi ialah Akatsuki, sebuah pertubuhan gelap yang mempunyai matlamat jahat yang bakal menghancurkan seluruh dunia ninja. Andai masih dibenarkan, izinkan aku mengibaratkan pertubuhan Akatsuki ini sebagai Syaitan La’natullah yang sentiasa mempunyai niat jahat untuk membinasakan anak cucu Nabi Adam.


Akatsuki diibaratkan sebagai Syaitan
RESOLUSI

Memahami konsep secara keseluruhan, Usrah kini bolehlah difahami sebagai satu sistem asas yang mendasari seluruh gerak kerja dalam menjadikan Islam sebagai agama yang menjadi ikutan oleh seluruh umat manusia. Sungguh, destinasi kita begitu besar nilainya, jadi ia menuntut kita menggembleng segala kemungkinan yang ada untuk dijadikan tapak pembinaan ustaziatul alam. Aku yakin dan percaya bahawa usaha besar ini bermula dari sekecil-kecil peranan individu yang perlu dijaga dan diawasi setiap masa dari godaan serta hasutan syaitan yang tidak pernah lelah menenggelamkan anak Adam. Kalau kita tidak mampu menjadi seperti Naruto yang dikurniakan dengan kebolehan chakra yang luar biasa, apalah salahnya jika kita menjadikan semangat dan azamnya yang kuat itu sebagai inspirasi untuk kita selalu membantu umat Islam dengan segala kudrat yang kita ada. Aku bukan mengangkat Naruto sebagai watak yang menjadi satu-satunya inspirasi kerana kita telah mempunyai suri teladan terbaik sepanjang zaman iaitu RASULULLAH. Cukuplah sekadar watak anime rekaan ini boleh memberikan kita manfaat memandangkan ramai yang meminati siri anime ini. Dan sudah tentu kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian. Kita memerlukan ukhuwwah dalam sistem usrah ini sebagai alat yang menyokong kita agar apabila terluka ada yang merawat dan jika terjatuh ada yang membangkitkan semula. Tapi mengenangkan puisi insan yang aku nyatakan di atas, aku sangat berharap agar para da’ie sekalian dapat memikirkan pendekatan yang lebih sesuai dan mampu menarik insan yang berada dalam kegelapan itu kembali dalam terang cahaya. Jangan kita syok sendiri dalam keindahan usrah ini tanpa mengambil berat rakan-rakan lain yang belum pernah merasainya. 


Wallahu'alam...


p/s: nantikan siri 2 yang akan membincangkan persoalan terperinci mengenai sistem usrah dan pendekatan terbaru yang boleh diambil oleh para dai'e untuk menarik orang yang tiada latar belakang islamik ke dalam usrah.


Lover Cake House
Tawau Sabah
3.51 pm
23/10/2011

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...