Subscribe:

Wednesday, October 26, 2011

::PELAMINKU BERKALANG NODA::

CERITA YANG MENYENTAP JIWA
Cuaca pagi ini agak sejuk kerana semalam hujan turun dengan lebat sekali. Tidak hairanlah jika aku menarik selimut semula selepas mengerjakan solat subuh tadi. Godaannya terlalu hebat. Kini, jarum sudah menunjukkan jam 7 pagi. Cahaya mentari pecah berkeping-keping dan mencuri masuk melalui jendela bilikku. Aku lantas bangkit dan mengemas tempat tidur sebelum masuk ke dalam bilik air. Jarang aku bangun seawal ini pada musim cuti semester sebegini. Tapi ada urusan yang perlu aku selesaikan pagi ini. Selesai bersiap, aku duduk di ruang tamu dan membuka tv. MHI. Topik perbincangan pagi ini agak menarik perhatianku.


Masalah remaja yang tidak pernah menemui jalan penamat. Malah semakin menyesakkan masyarakat yang kian tenggelam dalam gelombang kebejatan sosial. Aku mencapai buku Engkau Memang Cantik karangan Burhan Sodiq. Buku yang membicarakan perihal wanita. Kenapa aku pula yang sibuk membacanya. Aku tersenyum sendirian. Aku cuma menyelak beberapa muka surat. Sekadar melihat-lihat sahaja tanpa niat untuk menyambung bacaan. Tiba-tiba aku terjumpa kad kahwin di dalam buku itu. Mataku yang sepet sedikit terbeliak melihat nama pengantin yang tertulis di atas kad itu. Bukankah perempuan ini jiranku yang baru berumur 16 tahun? Dan lelaki ini betul-betul tinggal di hadapan rumahku yang baru menjangkau usia 21 tahun? Emak yang keluar dari dapur sekadar mengiyakan dan mula membuka cerita yang belum aku ketahui walaupun sudah 2 minggu bercuti di rumah. Rupa-rupanya ahad ini merupakan majlis resepsi bagi pengantin perempuan setelah mereka berdua di akad nikah 3 minggu yang lepas. Apa sudah jadi? Ternyata ada cerita disebalik semua ini. Pelamin ini akan dinaiki oleh 3 orang, bukan 2. Orang yang ketiga itu pasti tidak mengetahui apa-apa.

HARAPANKU JUGA SEPERTI IBU YANG LAIN

''Siapa yang buat macam ni dekat kau?'' Mak Cik Aida (bukan nama sebenar) menggoncang badan anak gadisnya. Air matanya sudah tidak dapat tertahan lagi. Suaranya dapat didengari diseluruh sudut rumah. Emosinya tidak lagi menggambarkan dirinya yang sebenar. Emak dan semua yang ada disitu cuba mengawal tingkah Mak Cik Aida yang seperti dirasuk syaitan. Ain menggeletar ketakutan. Mukanya pucat. Dia menyebut nama lelaki yang membuatkan suasana menjadi semakin diracau rasa kecewa. Mak Cik Aida kemudiannya bersandar didinding rumah. Seakan kekuatannya telah direnggut, seolah-olah dunianya menjadi terlalu gelap dan semakin menghimpit dirinya ke satu sudut yang sempit. Mak menghentikan ceritanya disitu. ''kesian dekat Mak Cik Aida.'' Ada sedikit keluhan di hujung ayat yang mak tuturkan. Aku masih teringat lagi satu ketika dahulu Mak Cik Aida dengan bangga dan penuh pengharapan mengatakan bahawa satu hari nanti kedua-dua anak perempuannya itu akan berjaya dalam pelajaran dan bakal dilamar oleh pegawai berjawatan tinggi. Tapi kini, dia sedar harapannya itu tinggal harapan setelah anak sulungnya sendiri yang membuat harapan itu hancur lebur. Bertambah sedih lagi apabila orang disekeliling menjadi pengulas cerita dan mula melabelkan dia sebagai ibu yang tidak pandai mendidik anak sendiri. MashaAllah. Inilah sikap masyarakat kita. Bukannya membantu meringankan beban orang lain, bahkan beban itu semakin diasak dengan pelbagai tohmahan dan cemuhan. Kalau kena batang hidung sendiri barulah mereka tahu langit itu sememangnya tinggi tak tercapai.


Satu sikap Mak Cik Aida yang aku kagumi adalah kemampuannya untuk merawat hati yang telah dirobek dan dicalar. Biasanya, ibu bapa yang tidak mampu menghadapi kenyataan akan membuang anak mereka dari keluarga, tidak mengaku anak atau sekurang-kurangnya menyuruh agar anak yang dikandungkan itu digugurkan. Tapi Mak Cik Aida begitu tabah dan mula berfikir seperti seorang ibu kerana dia sedar apa yang telah berlaku telah ditakdirkan untuk keluarganya. Kenapa perlu melakukan kesilapan lagi setelah kesilapan lampau telah menghantui? Dia lantas bertemu dengan keluarga lelaki tersebut dan hasil perbincangan, maka lafaz sakinah pun bergema sebagai tanda terbinanya sebuah lagi masjid. Dan sudah pasti, setiap ibu dan bapa inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Mak Cik Aida berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan majlis perkhawinan anak sulungnya itu semeriah majlis perkhawinan anak orang lain. Dia juga menyimpan hasrat untuk melihat anaknya menjadi raja sehari walaupun dia sedar dia tidak mampu menutup mulut-mulut pihak yang suka bercakap. ''Aku juga seperti ibu-ibu yang lain. Ada menyimpan harapan dan impian sendiri.'' begitu sayu Mak Cik Aida menuturkan kata-kata. Dan ternyata, majlis perkahwinan Ain dan suami berlangsung dengan meriah seperti hari bahagia orang lain. Cuma bezanya, pelaminnya dikongsi oleh 3 insan. Pada majlis tersebut, aku sempat melihat ada sedikit rasa kecewa dan sedih yang tidak mampu disembunyikan di raut wajah seorang ibu yang telah memasang angan-angan bermenantukan pegawai tinggi sedangkan anaknya yang masih mentah itu begitu gembira di atas pelamin bersama seorang penganggur seakan-akan tidak mengerti apa-apa. Kalau aku berada di atas kaki Mak Cik Aida, sudah tentu aku juga akan menjadi sepertinya. Ibarat tangan diikat ke langit, kaki dipasak ke bumi. Percayalah Mak Cik Aida, Allah telah merancang sesuatu untuk mak cik dan keluarga mak cik atas kejadian yang berlaku ini. Dan ingatlah, perancangan Allah sentiasa yang terbaik.

JADILAH MASYARAKAT YANG MENYOKONG,BUKAN MENGONGKONG

Berbicara mengenai sikap masyarakat kita membuatkan aku sering menggeleng kepala. Tidak pernah berubah. Kalau bab hukum hakam memang kita selalu menjadi juaranya. Ramai daripada kita yang begitu pandai menghukum, tapi terlalu sedikit di kalangan kita yang benar-benar ingin membantu golongan yang tersesat jalan ini untuk menemui jalan pulang. Berani aku katakan, kebanyakan kes-kes seperti zina, mengandung anak luar nikah, dadah dan gejala-gejala lain berlaku dikalangan orang melayu yang beragama Islam. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, tapi itulah hakikat yang berlaku disekeliling kita. Oleh itu, kita sebagai satu komuniti yang hidup bermasyarakat haruslah memainkan peranan yang bijak dalam menangani kes-kes seperti ini. Setiap individu itu bertanggungjawab untuk menjadi kaunselor kepada anak-anak bangsa dalam mendidik mereka dengan nilai-nilai yang terpuji. Apabila dikatakan peranan setiap individu, kita perlu membicarakan cara dan pendekatan yang diguna pakai untuk berhadapan masalah seperti ini. Kita perlu sedar, anak-anak remaja yang melakukan gejala sosial ini juga manusia biasa yang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, jangan kita melayan mereka seolah-olah mereka tidak ada peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan lampau. Seolah-olah mereka sudah tidak layak digelar manusia. Disebabkan sikap beginilah ramai di kalangan kita khususnya pihak keluarga yang tidak sanggup menerima hakikat sehingga golongan remaja ini kehilangan punca dan mulalah mereka melakukan perkara-perkara diluar batas kemanusiaan seperti membunuh anak yang baru dilahirkan. Ketahuilah, golongan ini memerlukan sentuhan kasih sayang daripada orang yang mereka percaya. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan. Golongan ini perlu dibantu dengan keajaiban kasih sayang, bukan herdikan, cacian atau makian. Manakala, seluruh masyarakat perlu menyedari bahawa semua masalah ini mampu diatasi sekiranya kita kembali ke fitrah yang sebenar iaitu Islam. Andai Islam itu benar-benar dihayati dan dipupuk sebaik-baiknya di dalam diri setiap anak-anak, sifat cinta kepada Allah ditanam dalam jiwa mereka, percayalah masyarakat kita akan selamat dari segala ancaman luar. Akhir kata, jadilah kita orang yang benar-benar meringankan beban masyarakat, bukannya seperti menabur garam pada luka yang sedia ada.


“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)

Wallahu’alam….




Rumah tercinta
Tawau Sabah
4.39 pm
26/10/2011

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...