Subscribe:

Sunday, October 16, 2011

::Rahsia disebalik kejayaan Insaniah::

LAMUNAN KEGEMILANGAN

Malam ini langit begitu indah. Bulan memancarkan cahaya kemilaunya. Hampir hilang seri bintang-bintang yang memagarinya. Cahaya itu mencuri masuk ke halaman rumah tempat aku berehat, berserakan menyinari lantai bumi yang gelap.Hari ini masuk hari yang kedua aku di rumah tercinta sempena cuti semester. Baru 2 hari berlalu, tapi perasaanku kembali tercampak ke ruang rindu terhadap sahabat-sahabat di kampus.Bagaimana mungkin aku dapat menghabiskan cutiku selama sebulan selepas ini. Ingin mencari kerja sambilan, tapi cuti tak lama sangat. ‘’kena cari ikhwah di sini, aku kena join program tarbawi barulah tak boring sangat’’, aku bermonolog sendirian. 


Aku membelek-belek novel sejarah Islam ditanganku yang dikarang oleh Abdul Latip Talib yang mengabadikan kisah perjuangan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang berjaya merampas kembali tanah suci Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera salib selama 88 tahun lamanya. Aku begitu gemar membedah buku-buku karangan Abdul Latip Talib kerana kebanyakan tulisan beliau mampu membawa aku kembali merentas zaman kembali ke era kegemilangan Islam satu ketika dahulu dengan penceritaan yang begitu halus dan menarik. Betapa hebatnya pahlawan-pahlawan Islam dahulu. Mereka mampu mengatur strategi perang yang begitu mantap, namun dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang begitu tekun beribadah kepadaNya. Berbekalkan ilmu dan iman yang penuh di dada, mereka mampu menawan hampir seluruh bangsa didunia pada masa itu. Bertambah menarik lagi ialah peribadi pemimpin-peminpinnya begitu mempesonakan dengan sifat merendah diri dan sentiasa taat dengan perintah Allah.Bayangkan saja, setiap tentera musuh yang menyelinap masuk ke markaz tentera Islam pasti akan menemui kalimah syahadah kerana kagum dengan akhlak tentera Islam yang begitu mulia dan sentiasa menghidupkan malam mereka dengan ibadah manakala siangnya mereka berpuasa. Inilah didikan tarbiyyah daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad.Sikap sebeginilah yang patut dicontohi oleh pemimpin sekarang. Bak kata pepatah melayu lama, ‘’jadilah seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi’’.

ANUGERAH KELAB PERSATUAN TERBAIK SEMPENA GRADUATION NIGHT KPTM BANGI DIBERIKAN KEPADA KELAB INSANIAH.


BERITA GEMBIRA

Deringan telefon menghentikan lamunanku. Bayangan tentera-tentera berbaju besi dan berserban pecah berkeping-keping dari kotak fikiranku. Rupa-rupanya ia adalah panggilan daripada sahabat usrahku, Hafiz. Sebentar tadi, aku menghantar sms untuk bertanyakan suatu berita yang mendebarkan hati.Kini pasti Hafiz ingin memberitahuku.‘’Siapa menang?’’ Aku lantas bertanya dengan sedikit rasa teruja. ‘’anta rasa siapa?’’ Hafiz masih cuba berteka-teki denganku. Dalam fikiranku muncul satu persatu calon yang menurutku layak merebut gelaran tersebut. ‘’Mestilah Kelab Insaniah yang menang’’. Akhirnya Hafiz sendiri yang menjawab teka-teki tersebut. Mungkin dia juga begitu teruja untuk memberitahuku.Aku mengukir senyuman mendengar berita  itu. Aku sudah menjangkakan Kelab Insaniah akan dinobatkan sebagai Kelab Terbaik 2011 sempena Graduation Night yang berlangsung semalam. Ini juga membuktikan kelab yang membawa imej Islam memonopoli kampus ku tika ini. Sudah tentu aku gembira. Bukankah Rasulullah pernah bersabda:

''Al-Islamu ya'lu wala yu'la alaih''
Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya

Tapi tiba-tiba aku dapat merasakan ada sesuatu disebalik kemenangan ini yang membuatkan senyumanku terhapus. Aku pernah dimaklumkan bahawa kemenangan ini dinilai dari sudut pengurusan, sistem pemfailan dan anjuran program.Bermakna ada perkara yang paling penting tidak masuk dalam kriteria yang dinilai. Aku akui bahawa kelab Insaniah tidak sama dengan kelab lain. Kelab Insaniah mempunyai matlamat yang jauh kehadapan selaras dengan slogannya ‘’Perintis Agama dan Akhlak’’.Dalam erti kata lain, Kelab Insaniah belum lagi mencapai kemenangan yang hakiki. Hakikatnya suasana Islam yang sebenar belum lagi menguasai suasana kampus dan asramaku. Dengan itu, kami tidak akan berhenti sehingga semua pelajar menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dengan kemenangan ini juga, laluan yang perlu kami lalui semakin berliku, cabaran semakin menghimpit dalam kesesakan perjuangan. Memang benar ramai pihak yang memuji atas kemenangan kelab Insaniah pada malam itu. Tapi aku sedar, segala pujian itu merupakan ujian daripada Allah dan sebagai peringatan bahawa perjuangan yang sebenarnya masih belum selesai. Kemenangan ini adalah satu titik permulaan, bukan sebuah pengakhiran. Aku juga yakin teman-teman seperjuangan yang lain turut menyedarinya.

RAHSIA DIDEDAHKAN:JANGAN LEKA SAHABATKU…

Aku mencampakkan pandangan ke dada langit. Kelihatan awan kelabu berbalam-balam berarak mengikut rentak sang bayu. Bintang-bintang yang tadinya berkerlipan indah sudah tidak kelihatan. Petir mengeluarkan cahaya tanpa suara. Angin bertiup lembut tapi sejuknya tetap terasa. Suasana yang begitu cerah sebentar tadi tiba-tiba berubah tanpa aku sedari. Sejak kebelakangan ini, cuaca tidak menentu. Mungkin ini salah satu tanda akhir zaman yang sengaja dipaparkan kepada umat manusia, tetapi sangat sedikit yang mengambil pengajaran. Atau mungkin juga ini merupakan satu peringatan daripada Allah bahawa tidak selamanya kita dibuai dengan kejayaan jika kita leka. Andai kemenangan kecil ini melekakan kita untuk menggandakan usaha, maka tidak mustahil kita akan beroleh kegagalan selepas ini. Bukanlah niatku untuk berfikiran pesimis dan mencipta suasana berkabung disaat kegembiraan memenuhi ruang atmosfera. Aku cuma ingin mengingatkan agar tiada seorang pun tentera yang tertidur kerana sesungguhnya kita masih lagi berada di medan tempur. Konsepnya begitu mudah, jika anda ingin mendengar peringatan ini silakan. Tapi jika anda enggan dan ingin terus dibuai mimpi indah itu juga dipersilakan. Itu hak anda. Begitu mudah bermain dengan konsep bukan? Jangan kita lupa kepada kelekaan tentera Islam pada perang Uhud yang menyaksikan umat Islam tewas walaupun jumlah tentera Islam ketika itu begitu ramai dan kelengkapan peperangan begitu mantap. Sehingga Nabi Muhammad sendiri terluka. Semuanya kerana lalai dan leka dengan harta dunia. Ingkar pada arahan. Mungkin leka setelah Islam melakar kejayaan yang mengagumkan semasa perang Badar yang menyaksikan seramai 313 tentera Islam menewaskan 1000 tentera Musyrikin. Dan sudah pasti kemenangan itu dapat dicapai dengan sikap yang sentiasa bersedia dan mengharapkan pertolongan dari Allah. Belajarlah dari sejarah sahabatku sekalian agar kita tidak mengulangi kesilapan yang telah kita lakukan dahulu. Ingatlah Firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 7:


 Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

PENUTUP

Semoga kejayaan ini dapat mencetuskan satu semangat baru kepada semua pejuang-pejuang Islam di Kolej Poly-Tech Mara Bangi. Kita harus sedar, kita bagaikan tentera Perang Badar. Jumlahnya sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang masih mencari-cari sinar Islam. Oleh itu, kekalkan kualitinya agar kuantiti itu tidak melemahkan kita dalam memperjuang agama Allah. Memang benar kita bukan yang terbaik, cukuplah sekadar mahu menjadi baik dan mengajak kawan-kawan lain untuk menjadi baik. Kerana hanya orang yang baik sahaja yang layak menjadi penghuni Syurga Firdausi. Selebihnya serahkan pada yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wallahu’alam…

Rumah tercinta
Tawau Sabah
13/10/2011
09.35 pm

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...