Subscribe:

Monday, October 10, 2011

::Aku dan Islam:Meraba dalam terang cahaya::

Langit mendung. Guruh memainkan simfoni alam yang kekadang menggetarkan hati insan yang memerhati alam dengan mata hati. Aku melemparkan pandangan ke dada langit. Kelihatan awan kelabu seakan-akan tidak tertahan lagi untuk memuntahkan air yang memberatinya. Metafora alam ini turut menggambarkan perasaanku tika ini.

Seakan ada sesuatu yang ingin kuluah tapi tidak terdaya. Aku baru saja usai membaca artikel dalam format PDF pemberian Murobbiku yang dikarang oleh Abu Al-A'la Al Maududi. Tajuknya begitu ringkas tapi mampu menusuk jauh ke dalam hati yang kosong dalam kekosongan, jiwa yang kontang dalam kemarau panjang. ''Apa Ertinya Anda Seorang Muslim??''. Satu persoalan yang memerlukan akal untuk mencerna pengertian dan amal untuk menzahirkan pengabdian. Sungguh, Islam itu bukan setakat meniti dibibir semata-mata, tapi memerlukan bukti keislaman. Ibarat seorang Romeo yang menuntut kata-kata cinta seorang Juliet dengan pembuktian sejatinya cinta mereka lantas mereka mati dalam cinta yang sia-sia. Atau adakah cukup sekadar kita mengatakan aku sudah makan dan aku sudah kenyang! Sedangkan kita tidak menjamah sebutir nasi pun dan perut terasa lapar. Begitu juga halnya apabila kita mengatakan aku sudah Islam! Sedang pada hakikatnya jiwa kita kosong dari cahaya Islam, kita tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup lantas kita berbuat sesuka hati. Sayyid Abu Al-A’la Al Maududi membicarakan perihal manusia sebegini terbahagi kepada 3 golongan iaitu:

1) Golongan yang mengagung-agungkan kebebasan berfikir dan beramal. Setiap amal perbuatan mereka hanya didokong oleh pendapat mereka sendiri sahaja.Apa saja yang dirasakan betul, itulah yang akan menjadi fikrah hidup. Mereka tidak mempunyai hubungan langsung dengan sebarang agama. Golongan ini adalah golongan yang sesat.Mereka sesat dalam keegoan dan keangkuhan dengan menafikan bahawa mereka berada dibawah undang-undang agama Alllah.

2) Golongan yang zahirnya berpegang pada suatu agama tertentu tapi pada hakikatnya mereka mematuhi pegangan pendapat dan pemikiran mereka semata-mata. Mereka hanya mengambil sebahagian pegangan mengikut hawa nafsu dan kepentingan hidup mereka. Golongan ini adalah golongan munafik dan pendusta yang menggunakan agama sebagai permainan dan alat untuk memenuhi kehendak hawa nafsu mereka.

3) Golongan ini pula terdiri daripada mereka yang tidak menggunakan akal dalam beragama.Lalu mereka pun merangkaklah dibelakang manusia dengan mengikut mereka secara membabi buta. Golongan seperti ini mengikut apa yang diperbuat oleh nenek moyang mereka atau sesiapa saja yang mereka kehendaki. Contohnya, jika secara kebetulan mereka dilahirkan dirumah orang yahudi, maka mereka mengatakan agama Yahudi itulah yang benar. Manakala jika mereka dilahirkan dirumah orang Islam, mereka mengatakan Islam itulah yang benar.

Adakah kita Islam sekadar pada keturunan??

Bacaanku terhenti seketika-aku terkesima. Kesemua golongan yang disebutkan oleh Abu Al-A’la ini benar-benar wujud dizaman ini bahkan golongan ini meliputi hampir seluruh umat manusia yang tenggelam didalam dunia ciptaan sendiri.Aku bimbang adakah mungkin aku juga sebahagian daripada golongan yang disebutkan ilmuan terkenal itu? Na’uzubillahi min zalik.  Tiba-tiba hati ku berkata, ''Nasib baik aku Islam''. 
''Tapi cukupkah sekadar mengaku aku Islam itu benar-benar menjadikan aku seorang Islam?'' hatiku terus bermonolog. Tanpa aku sedari muazzin baru saja melaungkan baris terakhir azan di masjid berhadapan bilikku dan baris itu adalah kalimah syahadah ''tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah''.Aku terus mengambil air sembahyang dan mengerjakan solat fardhu asar bersama rakan-rakanku Amirul dan Safwan. Usai solat aku mengucapkan Alhamdulillah kerana aku yakin ini adalah satu pembuktian bahawa aku sememangnya Islam. Tapi, benarkah Islam itu sekadar mengerjakan solat? Nampaknya hatiku masih belum puas dalam mencerna erti dan pengertian Islam dan menuntut aku untuk mencari dan terus mencari.Aku akur.Seperti biasa, selepas melazimi bacaan Al-Ma’thurat selepas solat asar, aku akan merayau-rayau di dalam laman sesawang Facebook. Tiba-tiba mataku tertancap pada satu keratan majalah hiburan yang mempamerkan wajah-wajah selebriti negara yang masing-masing melontarkan pendapat mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia (Hudud-isu baru yang sedang hangat diperkatakan kini dan ia terus dipolitikkan tanpa penghayatan holistik). Aku pun cuba meneroka pola pemikiran para selebriti di Malaysia.Ternyata benarlah firman Allah dalam Al-Quran:



فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

”Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (Surah An-Nahl:43)




Aku hanya mengelengkan kepala kerana rata-rata artis ini memberikan jawapan seolah-olah mengatakan bahawa hukum yang ditentukan Allah ini zalim dan tidak releven dengan zaman sekarang yang kononnya millennium kini. Bahkan yang membuatkan aku hampir tergelak adalah komen seorang artis yang mengatakan hukuman sula adalah salah satu hukum hudud yang dikenakan untuk orang yang berzina. Setahu ilmu aku yang tidak seberapa ini, sula tidak pernah wujud pun dalam hukum hudud.’’Ni mesti pengaruh cerita mahsuri dihukum sula kerana dituduh berzina.’’ Aku berkata sendirian. Amirul hanya mampu tersenyum. Agak geram tapi tiba-tiba aku sedar yang aku seakan lari dari topik perbincangan. Eh sebentar, siapa kata isu ini tiada perkaitan.Sebenarnya perkara ini ada disebut oleh Abu Al-A’la Al Maududi dalam membahaskan golongan manusia yang tidak menghayati Islam. Golongan ini terdiri daripada golongan kedua iaitu mereka mempunyai pegangan agama iaitu Islam, tapi mengambil sebahagian kehendak agama untuk memenuhi kehendak nafsu malah yang sebahagian lagi ditolak dan dinafikan lantas pelbagai alasan dicipta untuk melepaskan diri. Tidak keterlaluanlah kalau aku melabelkan golongan seperti ini adalah pendusta dan munafik kerana menjadikan agama sebagai alat permainan. Bagaimana mungkin hukum yang telah ditetapkan oleh Allah itu zalim, tidak releven atau dengan kata lain tidak sempurna! Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 179 yang bermaksud:



"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, BAHKAN LEBIH SESAT LAGI. Mereka itulah orang-orang yang lalai."


Namun apakan daya, itulah hakikat umat Islam yang mengaku diri sebagai Islam tapi sering saja mencari alasan untuk melepaskan diri dari erti dan pengertian Islam itu sendiri iaitu tunduk serta patuh dengan segala apa yang diperintahkan Allah. Selamat datang ke dunia akhir zaman, dunia yang penuh dengan kepura-puraan dan pengkhianatan. Di dunia inilah lahirnya manusia yang mengkhianati segala kata janji yang pernah dilafazkan satu ketika dahulu sebelum menginjak ke dunia. Baru-baru ini wujud pula golongan yang ingin melepaskan diri dari kawalan Allah. Aku semakin pening dengan sikap manusia sekarang. Tiada sedikit pun rasa takut kepada Maha Pencipta. Bukankah Allah telah memberi amaran kepada manusia melalui Surah Al-Maidah ayat 44 yang berbunyi:



"... Barangsiapa yang memutuskan tidak menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang yang kafir".


(Surah Al-Ma'idah: Ayat 44).



MashaAllah.Sanggup kita berpaling lantas menjadi kafir semata-mata menjunjung hidup di dunia yang sementara ini. Aku merasakan kepalaku seakan berdenyut-denyut.Mindaku lelah memikirkan masalah yang menimpa umat zaman ini.Tenat.Disaat aku memejamkan mata, azan maghrib berkumandang dari masjid di hadapan bilikku. Terasa tenang aku rasakan. Kali ini, gemersik suara muazzin betul-betul aku hayati dan aku cuba membenarkan satu-persatu kalimah azan itu masuk ke dalam hatiku yang telah lama tidak disapa keindahan. Kenapa manusia tidak melihat dan merasakan bahawa Islam adalah sebuah agama yang indah dan pengabdian kepada Al-Khaliq itu cukup sempurna. Mungkin benarlah kata-kata Ustaz dari Radio Ikim yang aku dengar tempoh hari, ‘’Kita sering berinteraksi dengan alam, tapi kita tidak pernah berinteraksi dengan pencipta alam tersebut’’. Mata kita melihat, tapi hati kita buta. Telinga kita mendengar, tapi hati kita buta. Jadilah kita seperti orang yang meraba-raba di dalam terang cahaya. Islam tapi terus sesat dalam gelap jahiliyyah. Wallahu'alam...

Asrama Desasiswa
12.44 tengah malam
11/10/2011

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...