Subscribe:

Tuesday, October 18, 2011

::Hukum Menggantung Gambar Makhluk Bernyawa di Rumah::

Air laut semakin surut. Aku memerhati pukulan ombak kecil berkejar-kejaran di bawah kolong rumahku. Biasalah, rumah atas air. Pernah satu ketika sahabatku di kampus bertanya mengenai mengenai keadaan kampungku di Sabah dan ada sedikit rasa kagum diwajah mereka bila aku menceritakan perihal rumah suku Bajau/Suluk di Sabah. Bertambah teruja lagi bila aku mengatakan kalau mahu makan ikan boleh terus dapatkan yang segar dari bawah rumah. ‘’Zaman dulu-dulu bolehlah’’ Aku tergelak kecil. Tapi bukan itu yang ingin aku kongsikan. Aku sedang memikirkan satu pertanyaan yang di ajukan oleh seorang sahabat. ‘’Apa hukumnya menggantung gambar manusia dan menghias patung di rumah?’’ Persoalan itu tidak terus ku jawab. Aku pernah dengar malaikat pembawa rahmat tidak akan menjejakkan kaki ke rumah yang didalamnya ada gambar manusia.

Mataku cuba menjelajah dinding rumahdan ternyata rumahku juga tidak terkecuali mempunyai gambar-gambar sebegitu. Ada juga gambar kami adik-beradik ketika masih kecil.Comel. Aku tergelak sendirian. Tapi betulkah malaikat rahmat tidak masuk ke rumah ku? Lantas aku membuat sedikit carian di Google dan aku menemui beberapa ilmu yang perlu dikongsikan bersama rakan-rakan yang mungkin masih samar mengenai hukum sebenar permasalahan ini.


BILA RASULULLAH BERSABDA

Memang benar pada asalnya hukum melukis atau meletakkan gambar makhluk yang bernyawa di rumah adalah HARAM. Nabi pernah bersabda dalam satu sirah bersama Siti Aisyah:

Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah SAW: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Riwayat Muslim)


Berkata Imam Manawi : Yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini ialah suatu yg mempunyai ruh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yg tidak mempunyai ruh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yg membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatit amal tiadalah berpisah ia dari seseorang anak Adam.

Berhati-hati dengan kerjaya melukis gambar manusia kerana Allah sangat mengecam golongan ini di akhirat



Begitu keras ancaman Allah terhadap golongan yang menyimpan gambar makhluk bernyawa apatah lagi yang melukisnya.
Aku masih tidak berpuas hati kerana aku pernah melihat gambar sultan, Perdana Menteri serta isteri-isteri mereka tergantung di dinding masjid. Mana mungkin para ustaz dan imam di masjid terkemuka tersebut tidak mempedulikan hal tersebut. Aku meneruskan pencarian dan menemui satu hujah atau fatwa yang dikeluarkan oleh ulama kontemporari masyhur iaitu Syeikh Yusuf Al-Qardhawi.


APA KATA ULAMA MASA KINI?

Syeikh Yusuf Qardhawi membahaskan masalah ini dalam kitabnya yang berjudul Seni Dalam Islam dan resolusinya memberikan sedikit kelegaan kepadaku.

"Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya HARUS selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempuyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq, penyembah berhala, komunis ataupun tokoh-tokoh seni yang menyeleweng."

Gambar seperti ini masih di bolehkan


Jadi terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dalam permasalahan ini.


  1. Hukum melukis dan menyimpan gambar mahkluk bernyawa (manusia atau                haiwan) adalah HARAM.
  2. Hukum menyimpan patung di rumah adalah HARAM walaupun hanya sekadar        perhiasan.
  3. Berdasarkan fatwa masa kini, di HARUS kan bagi gambar fotografik yang diambil   menggunakan kamera atau medium lain selain daripada lukisan.Tetapi gambar    tersebut hanya untuk kenang-kenangan sahaja dan tidak     dibenarkan ada unsur-unsur pemujaan, mengaibkan, membuka aurat atau      mendatangkan fitnah.
  4. Berdasarkan Hadith Nabi, hukum pelukis yang melukis gambar manusia atau haiwan adalah HARAM dan dikecam oleh Allah di pangadilan kelak.

HARAM sekiranya gambar seperti ini digantung untuk dimulia-muliakan

Berdasarkan resolusi ini. Maka kita tidak perlu risau jika kita menggantung gambar kenangan yang diambil menggunakan kamera. Islam juga melarang kita menggantung gambar dengan unsur memuliakan atau mengagungkan tokoh-tokoh tertentu. Contohnya, ada beberapa rumah yang pernah aku lawati menggantung gambar ulama’ yang terkenal seperti Wali songo atau gambar Tuan Guru Nik Aziz kerana memuliakan mereka. Para ulama’ ini tidak bersalah, cuma orang yang memuliakan gambar mereka ini yang bermasalah. Maaf jika kebenaran ini pahit. Kita perlu mengubah perkara-perkara sebegini agar tidak menggugat akidah kita sebagai umat Islam.

Kan bagus gantung gambar-gambar Al-Quran atau tumbuh-tumbuhan




Lover Cake House 
Tawau Sabah
18/10/2011
3.51 pm




Love to hear what you think!

1 orang bising:

  1. masalah hukum satu hal, masalah malaikat rahmat tidak masuk rumah satu hal

    ReplyDelete

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...