Subscribe:

Sunday, October 9, 2011

::Kalimah Allah pada Lunar Halo:Ada Impak atau sekadar Nampak?::

Di facebook hari ini semua orang sibuk berkata mengenai fenomena bulan.Ada yang teruja, ada yang mengaitkannya dengan hari kiamat dan kejadian pelik, tidak kurang juga yang langsung tidak mengerti lantas mengambil keputusan untuk tidak terlibat.

''Cuba lihat bulan pada malam ini,pelik'' salah seorang kenalanku di facebook juga tidak mahu terlepas untuk berkongsi status yang sama. Ada apa dengan bulan pada malam ini dan yang menariknya apa perkaitannya dengan tarikh istimewa pada hari ini (9.10.11) dengan bulan tersebut.Buat masa ini, aku tidak berniat untuk membebankan mindaku untuk memikirkan hal tersebut sebab badanku masih terasa letih kerana hari ini aku mengembara ke Port Dickson dalam program Rehlah Kelab Insaniah 2011. Lelahku masih belum terhapus lagi untuk aku menceritakan kembali semua yang berlaku hari ini, cukup sekadar dengan ucapan Alhamdulillah dan bermakna. Kini aku duduk menghadap laptop kerana aku bercadang untuk menyelesaikan tugasan usrahku yang tergendala hampir seminggu yang lepas. Aku perlu menyiapkan satu artikel mengenai tauhid dan kepentingannya dalam kita menyedari erti dan pengertian sebuah kehidupan. Lupakan mengenai tugasan itu dahulu kerana bila usai nanti, pasti akan aku masukkan sebagai entri didalam blog ku yang tidak seberapa ini. Kini aku duduk betul-betul disebelah sliding door rumah sewaku kerana disitu mudah untuk aku mengecas laptopku dan kawasannya juga strategik untuk aku mencari sumber inspirasi bagi menyiapkan tugasanku. 


Aku bersandar di dinding dan memalingkan wajahku ke arah kipas dan melihatnya berpusing laju dan semakin laju. Aku cuba mencari idea mengenai erti hidup manusia dengan kipas tersebut. Apa pula kaitan kipas yang tidak bersalah itu dengan erti hidup manusia? Adakah hidup manusia ibarat kipas yang berpusing tanpa henti dan hanya menemui destinasi yang sama? Entahlah, aku buntu. Tiba-tiba tergerak hatiku untuk menyelak tabir yang menutupi sliding door untuk melihat sendiri fenomena yang diperkatakan oleh ramai orang saat ini. Memang benar, terdapat satu lingkaran indah mengelilingi bulan yang memancarkan sinar cahaya di langit yang begitu gelap pada malam ini. Tapi bagi aku, lingkaran seperti itu biasa aku lihat sebelum ini. Aku langsung tidak merasa ianya sesuatu yang pelik apatah lagi ingin mengaitkannya dengan hari kiamat. Aku meneruskan pencarianku di laman facebook dan tiba-tiba mataku terpikat dengan satu gambar yang dikongsikan oleh seorang sahabat mengenai fenomena yang berlaku pada hari ini. Dan aku akui, gambar ini benar-benar membuatkan bibirku menyebutkan kalimah subhanallah tanpa aku sedari.Hatiku sedikit tersentap. Sungguh mengagumkan meski gambar seperti itu sudah begitu banyak didedahkan di internet. Terdapat kalimah Allah disebalik keindahan bulan tersebut.

Kalimah ALLAH disebalik kindahan Lunar Halo


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda2 (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal;


(iaitu) orang orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka..

Ya Tuhan kami, sesungguhnya orang yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh, Engkau telah menghinakannya, dan tidak ada seorang penolong pun bagi orang yang zalim.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman (iaitu), "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa2 kami dan hapuskanlah kesalahan2 kami, dan matikanlah kami beserta orang2 yang berbakti.

Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul2Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sesungguhnya, Engkau tidak pernah mengingkari janji." 
(Surah `Ali Imran ayat 190 - 194)

Disebabkan agak tertarik dengan gambar tersebut, aku pun meneruskan pencarian mengenai fenomena ini dari sudut istilah sains. Orang barat memanggil fenomena ini sebagai Lunar Halo. Aku pun tidak pasti kenapa ia dinamakan Halo? Adakah bersempena dengan nama penyelidiknya? Orang baratkan sentiasa begitu, bisik hatiku. Rata-rata sumber bacaanku tidak meletakkan justifikasi yang terperinci mengenai fenomena ini. Mungkin bagi mereka ini hanya fenomena alam yang normal. Tetapi bagi aku, fenomena ini mampu memberi impak yang besar kepada insan yang melihatnya dengan mata hati kerana aku yakin Allah tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Pasti terkandung hikmah dan pengertian disebaliknya.Cuma aku agak tidak bersetuju apabila ada orang yang mengaitkannya dengan hari kiamat dengan mengatakan bahawa ia tanda kiamat semakin menghampiri kita. Sejak bila kita menjadi tukang tilik? Sedangkan Rasulullah pun mengakui tidak mengetahui bila berlakunya kiamat, inikan pula kita. Tapi disebabkan Islam menganjurkan bersangka baik, maka aku menganggap mereka ini hanya ingin mengingatkan kita bahawa kiamat itu semakin hampir dan kita haruslah bersedia menghadapinya. Sungguh, manusia itu hanya akan merasakan kekuasaan dan keagungan Allah apabila menyaksikan perkara-perkara yang pelik dan mengagumkan berlaku dihadapan mata mereka sendiri. Tapi kita sering terlupa bahawa mata dan segala pancaindera yang kita gunakan untuk melihat itu sudah cukup mempamerkan keagungan dan kekuasaan Allah. Mana mungkin manusia mampu menciptakan struktur mata yang begitu kompleks untuk melihat. Benarlah kata-kata HAMKA:

 ''Apa yang kita ada ini sudah harapan kita''

Jadi mengapa kita sering mencari sesuatu pembuktian diluar kebiasaan manusia untuk menjelaskan kedudukan iman kita?Seolah-olah kita mencabar Allah untuk menunjukkan kekuasaanNya barulah kita akan akur untuk tunduk patuh kepadaNya. Bukankah kita telah melafazkan kalimah janji untuk menjadi khalifah di muka bumi ini?


Tanpa aku sedari, malam semakin lewat, awan pun sudah menutup bulan yang mencetus pelbagai polemik pada malam ini. Walau apapun, kita perlu yakin bahawa setiap yang dijadikan Allah itu pasti membawa satu peringatan atau sekadar perkhabaran dari Allah untuk kita sentiasa kembali kepadaNya dan mengingatiNya disetiap waktu dan ketika.

Di keheningan malam ini, kedengaran suara aneh memanggilku untuk menghimpun tenaga (tidur), rupa-rupanya ia adalah suara bantal dan tilamku. ~ok, itu tipu dan tahyul. Jangan percaya kerana boleh menjejaskan akidah. Akhir kata, semoga Allah sentiasa memelihara Iman dan Islam kita dibawah pemeliharaanNya yang sempurna.


10/10/2011 (04:02 am)
Desa Sentosa

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...