Subscribe:

Thursday, October 6, 2011

::Sahabat: Antara hakiki dan Hipokrasi::

Hujan baru saja berhenti. Keadaan yang sedikit dingin membuatkan sendi-sendi ini seakan berat untuk digerakkan bagi menjalani hidup sebagai hamba Allah. Hidup ini memang sentiasa dibayangi kelelahan dan keletihan dalam setiap langkah.
Teringat satu kata-kata yang aku baca:
Ar rahah lir rajuli ghaflah, laa rahata lil mu’min illa fil jannah
Istirehat bagi seorang pemuda adalah kelalaian

Tiada rehat bagi org mukmin kecuali disyurga

Kata-kata ini sedikit sebanyak mencetus satu semangat baru yang perlu diperbaharui setiap masa. Aku bangkit dari tidur untuk bersiap-siap menemui Allah di surau asrama sebelum senja memulakan amanah Allah menggantikan siang yang bakal berlalu. Ya, memang itulah kebiasaan kurang baik yang telah aku amalkan sejak di alam sekolah menengah lagi. Eh, bukan kebiasaan solat maghrib tu, tapi kebiasaan tidur pada waktu petang. Bak kata Ustaz Mohd Puzi, warden asramaku dulu. Tidur petang 40 hari berturut-turut boleh menjadikan otak kita lemah atau lebih dahsyat lagi boleh menyebabkan kita gila. Owh... Na'uzubillahi min zalik. 

Selepas azan dan solat sunat rawatib, aku duduk sebentar berfikir sendiri sementara menanti jemaah lain hadir. Ada sesuatu yang mengganggu fikiranku ketika itu. Tiba-tiba disebalik kesepian itu, timbul satu rasa yang sudah lama aku tidak merasainya sebelum ini. Bayangan satu persatu kenangan melakonkan satu sketsa di pentas fikiran. Mungkin inilah rasa rindu terhadap sahabat-sahabat seperjuangan yang satu ketika dahulu sentiasa bersama-sama memeriahkan surau kecil di asrama ini. Ya, surau inilah yang menjadi permulaan ukhuwwah kami sehingga aku boleh berada di jalanNYA saat ini. Sudah tentu saat itu tidak akan aku lupakan. Dengan keberkatan bulan Ramadhan kami dipertemukan. Dan akhirnya membentuk satu ikatan yang aku dapat rasai kenikmatannya sehingga sekarang. Meski manis, nikmatnya terasa, meski pahit pun nikmatnya tetap ada. Itulah yang aku panggil USRAH. Ada yang memanggilnya Halaqah, Quranic Group, dan pelbagai panggilan lagi. Namun yang pastinya, ia berteraskan 3 prinsip utama sepertimana yang diajarkan oleh Murabbiku Akhi Hakim Hasbullah iaitu:

  • Ta'aruf (berkenalan)
  • Tafahum (persefahaman)
  • Takaful (saling membantu)


Satu demi satu kata-kata para sarjana terlintas dibenak dan salah satu yang paling menarik perhatianku adalah kata-kata Ustaz Mohd Asri Zainal Abidin (dR Maza) yang berbunyi:

"Sesiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya''

Memang benar apa yang dikatakan bekas Mufti Perlis ini. Masih ramai lagi yang masih tidak memahami hakikat indahnya berusrah. Telah ramai adik-adik mahupun abang-abang dan tidak terkecuali kakak-kakak yang cuba aku ajak untuk menyertai usrah. Namun rata-rata dari mereka tidak faham erti dan pengertian konsep persaudaraan ini. Tapi aku tidak akan berputus asa, satu hari nanti mereka juga akan merasakannya sendiri. Tapi benarkah ukhuwah itu sentiasa dihiasi dengan babak-babak indah belaka? adakah benar ukhuwah itu sering menggembirakan kita? Jawapannya terpulang kepada penghayatan kita terhadap pengertiannya sendiri. Tapi yang pastinya ia akan diselitkan dengan suka dan duka. Ia bukannya retorik semata-mata melainkan hakikat yang perlu ditempuh oleh setiap insan yang mempunyai fitrah untuk hidup bermasyarakat. 



Ada orang mendakwa bahawa dia tidak memerlukan ukhuwah dalam hidupnya kerana dia lebih suka pada privacy. Katanya lagi, ukhuwah ini satu bentuk hipokrasi yang sering mendatangkan penyakit yang berkampung di hati. Dihadapan kawan pijak semut pun tak mati, tapi dibelakangnya semut pun boleh mati mendengar kata-kata yang tidak baik mengenai kawannya (mengumpat lah tu). Dikala indah, ada kawan berkongsi keindahan, tapi dikala duka, kawan itu tidak sanggup luka bersama. Memang benar semua ini juga berlaku. Tapi ia adalah satu bentuk pengkhianatan yang tidak layak untuk digelar ukhuwah. Bukankah Rasulullah pernah bersabda:
“Orang Islam adalah bersaudara sesama Islam. Tidak boleh menzaliminya dan membebankan sesuatu yang memberatinya. Dan sesiapa yang menunaikan suatu hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya . Dan barangsiapa yang melepaskan kesusahan orang Islam, Allah akan melepaskan bala kesusahannya di akhirat. Dan sesiapa yang menutup keaiban mana-mana orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di akhirat”.                 (HR Bukhori)

Rasulullah junjungan kita juga mempunyai sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Hamzah, Bilal, dan ramai lagi. Aku tersentuh dengan satu kisah yang soo sweet antara dua manusia agung iaitu kisah penghijrahan Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar. Semasa mereka bersembunyi di dalam Gua Thur daripada Kafir Quraisyh, Abu Bakar telah dipatuk ular yang ada di dalam gua tersebut. Kamudian Rasulullah berbaring diatas pangkuan Abu Bakar. Setelah beberapa ketika barulah bisa ular itu meresap ke seluruh badan Abu Bakar. Abu Bakar merasakan kesakitan yang teramat sangat namun beliau sanggup menahan rasa sakit itu kerana tidak mahu mengejutkan Rasulullah dari tidur sehingga air matanya menitik ke pipi Baginda. Rasulullah pun terjaga dan bertanya kepada Abu Bakar kenapa dia menangis. Setelah mengetahui hal yang sebenar, Rasulullah pun menyapu ludah baginda diatas luka saidina Abu Bakar dan berdoa kepada Allah. Selepas itu, barulah Abu Bakar tidak merasa sakit lagi. Tidak hairanlah Rasulullah bersabda, ''Kalau ada orang yang aku boleh jadikan kekasih, maka aku akan menjadikan Abu Bakar sebagai kekasihku''

Banyak lagi kisah Rasulullah dengan para sahabat yang boleh kita jadikan ibrah dalam mengemudi tali ukhuwah kita. Bak kata pujangga, 

''Ukhuwah itu ibarat seutas tasbih yang tiada penghujungnya, dicantum kerana cintaNYA, diratib kerana redhaNYA''



''Assalamualaikum,'' tiba-tiba satu suara mengejutkan lamunan  dan mengembalikan aku ke alam realiti (kerja nak termenung je). Rupa-rupanya mereka adalah sahabat-sahabat seperjuanganku. Aku lantas melaungkan Iqomah dan kami mengerjakan solat Fardhu Maghrib secara berjemaah. (sebelum tu, macam biasalah, perli orang yang bertenggek kt luar surau guna mikrofon, ajak solat sekali) Itulah kisah kami, semoga ukhuwah ini berkekalan dan dibimbing Allah berdasarkan sunnah Rasulullah. Ukhuwah inilah yang akan merubah bumi kampus ini daripada rekahan tanah kepada bumi yang subur dengan ketaqwaan. dari kegelapan kepada sinar cahaya keimanan. Amiinn Ya Rabbal Alamin....


         

Love to hear what you think!

0 orang bising:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...